Sunday, July 12, 2009

Seharian merayau di Manek Urai!


Agak lama Puteri menyepikan diri. Bukan apa, Puteri "busy" sikit kebelakangan ni. Baru balik dari dari "somewhere" menyelesaikan beberapa tugas yang agak lama "delay". Namun, sempat jugak Puteri singgah di Manek Urai untuk meninjau perkembangan PRK di sana.

Nampaknya peluang untuk BN & UMNO masih ada peluang jika "kena gaya"nya. Ada yang memuji sikap Ketua Penerangan UMNO yang dok ke hulu ke hilir mendekati rakyat. "Hemoi" dari Ahmad Maslan itu mendapat banyak pujian masyarakat setempat. Tapi tak tahulah sama ada "pujian" itu ikhlas atau tidak. Ada jugak geng-geng UMNO yang "jeles" semacam kat YB Ahmad Maslan ni. Depa takdan nak ligan "cara" Ahmad Maslan bekerja untuk rakyat. "Rajin sangat" katanya. Tapi jangan la "rajin sangat" time nak PRK atau PRU ja, kena "rajin sentiasa" laaa...

Puteri kata "peluang" untuk BN/UMNO menang tu berdasarkan beberapa perkiraan. Tak semestinya betul-betul kita akan menang di Manek Urai. Ini lebih merujuk kepada kelebihan calon dari kedua belah pihak. Namun tak dinafikan, kalau PAS menang pun mungkin dalam majoriti yang lebih sedikit berbanding dulu. Dengan kekuatan kempen Ahmad Maslan, Tok Pa dan faktor calon, kekuatan BN untuk menang bleh ditafsirkan dalam bentuk 55%-45%.

Namun, Puteri agak jelik dengan sikap segelintir Puteri UMNO yang berkempen. Tak kena "cara"nya pulak depa ni. Ada segelintir dari Puteri yang terkinja-kinja, terhegeh-hegeh kat Pekan Manek Urai tu. Dok gelak "mengilai". Yang dok sembang bergebang time-time maghrib kat public pun ada. Bukan apa...tak elok la orang kampung dok tengok. Nanti buruknya UMNO jugak, kan? Harap kita Puteri ni jaga la adab sopan ketimuran. Boleh la nak aktif, tapi aktif kita ni ada la batasan. Kita kena rujuk agama dan adab sopan sebagai gadis timur jugak, kan? Harap jangan la salah sangka. Puteri tegur sebab Puteri sayangkan sahabat-sahabat Puteri ni. Kita perlu tunjuk bahawa Puteri adalah sayap srikandi yang boleh dijadikan contoh. Bukan sekadar menjadi "bahan kutukan" pulak! Kan?

Begitulah keadaan Manek Urai sepanjang tinjauan Puteri seharian marayau disana. Harap rakyat Manek Urai cukup "celik" untuk memilih. Bukan Puteri "paksa" rakyat Manek Urai, namun Puteri rasa inilah masa yang terbaik untuk "perubahan" di Kelantan setelah "terbiar" selama 18 tahun oleh Pemerintahan Spiritual Leader Nik Aziz. Kononnya tak dapat peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, tapi takkan sampai 18 tahun tak reti-reti nak bangunkan Kelantan? Takkan Kelantan miskin sangat dengan hasil negerinya? Mana pi hasil balak, perniagaan, cukai, industri dan banyak la gi sumber? Takkan dok pi sedekah buat Patung Siam lagi kot? Dah la miskin, tak reti berjimat, pi sedekah buat patung buddha, masjid tak pulak dibina? Ermmm..alahai Pok Nik di Kelantan oii...bila la nak mahir buat kerja ni?

APA PUN, KITA TUNGGU KETENTUAN ALLAH ESOK!

Monday, June 1, 2009

Azizan Razak : Babi Lebih Utama Dari Orang Kg. Tok Bidan.


Kerajaan PAS Negeri Kedah hari ini telah menunjukkan dasar kerajaan yang begitu "baik" sekali. Bersesuaian dengan slogan "Kedah Sejahtera", selaku Menteri Besar Kedah, Azizan Razak dengan bangganya telah menandatangani surat kelulusan untuk MENANGGUHKAN tindakan pihak berkuasa tempatan supaya MEROBOHKAN PREMIS PENTERNAKAN BABI di Kampung Berjaya, Alor Setar, Kedah.

Syabas diucapkan kepada MB Kedah yang begitu "prihatin" dengan sensitiviti rakyat Kedah, khususnya penduduk Melayu beragama Islam di Kampung Berjaya. Penduduk Kampung Berjaya "amat berterima kasih" kepada "ihsan" Azizan Razak untuk memberi lebih masa kepada mereka untuk menghirup "udara segar" dari kandang babi berkenaan. Selain menguntungkan "tauke" babi berkenaan, tindakan YB Sg. Limau itu amat "bertepatan" sekali dengan laungan takbir "Allahu Akbar". Pujian juga harus diberikan kepada pihak Kerajaan PAS Negeri Kedah kerana berjaya menangguhkan tindakan merobohkan "rumah" kepada haiwan yang ternyata memberi kesan bahaya kepada manusia baru-baru ini. Sesungguhnya virus influenza A H1N1 dan JE tidak akan dapat memberi apa-apa kesan kepada ralyat Kedah kerana mereka adalah "kebal" dari virus maut itu!

Selain itu juga, jutaan tahniah kepada Azizan Razak kerana berbesar hati untuk TIDAK MENANGGUHKAN tindakan MEROBOHKAN RUMAH PENDUDUK KAMPUNG TOK BIDAN. Penduduk Kampung Tok Bidan "amat seronok" melihat rumah mereka dirobohkan sehingga mengalirkan "airmata" gembira! Mereka "memuji-muji" tindakan MB Kedah itu kerana "tidak sabar-sabar" untuk meruntuhkan kediaman mereka walaupun rayuan terhadap tindakan itu sudah dibuat. Syabas kepada Azizan kerana begitu prihatin dengan masalah rakyat yang berpendapatan rendah itu, kerana dia juga tahu bahawa penduduk Kampung Tok Bidan juga mengalami kesulitan untuk mendapat penempatan baru.

Begitulah Kerajaan PAS Negeri Kedah yang begitu komited dengan "kesejahteraan" BABI. Rumah babi haruslah ditangguhkan dari dirobohkan. Manakala rumah penduduk-penduduk Kampung Tok Bidan pula haruslah segera dirobohkan demi menyusahkan hidup mereka lagi. Begitulah dasar "Kedah Sejahtera" pimpinan Azizan Razak! Babi dijaga, penduduk kampung menderita! Eloklah selepas ini dirobohkan pula kampung-kampung di Sg. Limau dengan segera, dan digantikan dengan kandang-kandang babi! Sesungguhnya babi dan "tauke" babi amat mulia di sisi Azizan, berbanding rakyat Kedah yang dok undi dia dulu!

Takbir! Allahu Akbar...Allah Maha Besar..Semoga Allah sahaja yang dapat membalasnya!
Sumber: click

Tuesday, May 26, 2009

Bakti Naib Ketua Puteri Malaysia Kepada Anak-Anak Kedah.


Assalamualaikum...
Nampaknya Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah mendahului Kerajaan PAS Negeri Kedah dalam memberikan sumbangan kepada anak-anak Kedah yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti. Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan mengadakan program khidmat masyarakat anjuran Puteri UMNO pada minggu ini. Berikut adalah butiran program tersebut :

Program : Budi Di Semai, Bakti Di Tuai.
Lokasi : Dewan Rantau Panjang, Kota Kuala Muda.
Tarikh : 29hb. Mei 2009 (Jumaat)
Masa : 4.00 petang.
Menurut Pn. Shahanim, program tersebut dianjurkan setelah melihat "anak-anak Kedah" yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti "terbiar" setelah mendapat "janji kosong" dari pihak Kerajaan PAS Kedah. Kerajaan PAS Kedah sebelum ini pernah memuatkan janji manifesto pilihanraya yang lalu bahawa mereka akan memberikan "imbuhan" kepada setiap anak Kedah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Namun, janji manifesto itu hanyalah omongan semata-mata untuk mengaburi minda rakyat.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia itu akan menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM100 dan sebuah kamus untuk kegunaan mereka apabila di kampus kelak. Walaupun sumbangannya hanyalah "sedikit", tetapi "isi"nya amat bermakna kepada 200 "anak-anak" yang terpilih dari serata Kedah Jelapang Padi ini.

Harapan Pn. Shahanim dan Puteri UMNO Malaysia, agar "anak-anak" Kedah ini akan bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu di "menara gading" dan menjadi manusia yang berilmu pada masa akan datang. Selain itu, beliau juga berharap agar "anak-anak Kedah" ini akan pulang berbakti di negeri Kedah, negeri kelahiran mereka, dengan tulus ikhlas dan berdedikasi. Selain bertujuan untuk menaikkan semangat "anak-anak" Kedah ini, Pn. Shahanim juga berharap agar sumbangan ini menjadi satu anjakan kepada "anak-anak" Kedah yang masih dibangku sekolah untuk lebih gigih menimba ilmu sehingga mencapai tahap tertinggi di universiti-universiti tempatan mahupun di luar negara.

Berdoalah agar keikhlasan Puteri UMNO ini tidak disalah anggap oleh sesetengah pihak. Ikhlas demi rakyat adalah tanggungjawab bersama!

Wallahua'alam bis sowab...

Tuesday, May 19, 2009

Aktiviti Puteri Pada Hari Jururawat.


Suasana meriah ketika sambutan Hari Jururawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini membuktikan perkhidmatan dan pengorbanan kumpulan penjawat awam itu sememangnya sentiasa dihargai oleh masyarakat.

Penyelia Jururawat HSAH, Siti Asa Abdullah berkata, inisiatif Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani untuk meraikan jururawat HSAH sempena sambutan Hari Jururawat sememangnya amat dihargai.

Menurutnya, pihaknya sama sekali tidak menyangka kunjungan Puteri ke HSAH untuk meraikan wanita yang menanti saat kelahiran bayi mereka di situ sempena Hari Ibu adalah juga untuk bersama meraikan Hari Jururawat.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puteri UMNO yang sudi merangka majlis meraikan Hari Jururawat di Wad Bersalin ini dengan membawa kek, pulut kuning dan sebagainya kepada jururawat dan diraikan secara bersama dengan ahli-ahli Puteri.

“Selain itu, kemeriahan majlis yang diadakan amat terasa walaupun cuma sederhana dan sekali gus membakar semangat jururawat di sini untuk menunaikan tanggungjawab dan perkhidmatan dengan lebih baik,” katanya.

Hadir sama ialah Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Shahanim Mohd Yusuff.

Shahanim berkata, majlis yang diadakan itu adalah bersempena sambutan Hari Jururawat yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun,

Katanya, Puteri mengambil inisiatif sempena lawatan mereka ke Wad Bersalin HSAH untuk meraikan Hari Ibu dan Hari Jururawat secara serentak.

“Ini sebagai tanda Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani menghargai dan mengenang jasa dan khidmat bakti jururawat yang sentiasa berkorban dan berusaha dalam merawat pesakit yang bermacam-macam kerenah," katanya.

sumber : Sinar Harian...Click

Sunday, May 17, 2009

Sikap "Terpuji" ADUN DAP dan PKR???



Menurut sumber, Dewan Undangan Negeri Perak telah menyenaraikan sebilangan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh para ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang semasa sidang Dewan Undangan Negeri.

Mereka telah melakukan provokasi, mengeluarkan kata-kata kesat, memasuki kawasan tempat duduk ADUN BN dan menghalang tugas pegawai DUN itu.
Berikut disenaraikan kesalahan-kesalahan Adun Pakatan pembangkang yang dilakukan pada sidang DUN 7hb Mei 2009.

1. Sebahagian ADUN PAKATAN PEMBANGKANG tergesa-gesa masuk ke dalam dewan untuk mengambil tempat duduk yang di khaskan untuk ADUN KERAJAAN.

2. ADUN PAKATAN PEMBANGKANG mewujudkan provokasi kepada ADUN KERAJAAN dengan memasuki ke tempat duduk ADUN KERAJAAN.

3. Timbalan Yang DiPertua Dewan Negeri, Y.B. Puan Hee Yit Foong telah dihina oleh ADUN PAKATAN PEMBANGKANG dengan dilemparkan wang kertas oleh Y.B. Encik Su Keong Siong dan Y.B. Encik Leong mee meng.

4. Y.B. Encik Su Keong Siong telah mengeluarkan kata-kata kesat dalam bahasa cina yang barmaksud 'pergi mati engkau...' dengan tujuan menghina kepada YB Timbalan Yang Dipertua Dewan.

5. Y.B. Encik Seah Leong Peng, ADUN Pasir Bedamar dan Y.B. Encik Su Keong Siong, ADUN Keranji dan beberapa orang lagi telah menghalang Setiausaha Dewan Negeri daripada menjalankan tugas ketika persidangan.

6. Baju jubah Setiausaha Dewan Negeri telah dicuri dan disorok di belakang kerusi di dalam bilik rehat Speaker Dewan Undangan Negeri.

7. Y.B. Encik Sivakumar a/l Varatharaju Naidu dengan angkuh telah mengingkari titah ucapan tuanku Raja Muda Perak yang telah disampaikan kepada Setiausaha Dewan Negeri agar memulakan prosiding dan aturan dalam dewan. Setiausaha Dewan Negeri telah mengingatkan kepada Y.B. Sivakumar sebanyak enam kali berhubung titah ucapan tuanku berkenaan.

8. Y.B. Encik Yew Tian Hoe, ADUN Au Long dengan sengaja telah duduk di kerusi Yang DiPertua Dewan Negeri Perak (setelah Y.B. Sivakumar dibawa keluar) bagi menghalang Y.B. Dato' R. Ganesan dari menjalankan tugas sebagai speaker baru yang dilantik.

9. Teks prosiding dan bacaan doa Setiausaha Dewan telah dirampas dari pada Setiausaha Dewan dan telah dirosak dan dikoyakkan. Y.B. Encik Yiew Tian Hoe juga telah menghempas teks prosiding dan doa di atas mejanya beberapa kali hampir 5 minit bagi tujuan membuat bising.

10. Y.B. Encik Khalil Idham Lim. b. Abdullah ADUN Titi Serong, telah mencetak risalah-risalah yang tidak diketahui sumbernya dan mengedarkan kepada ADUN-ADUN PAKATAN PEMBANGKANG.

11. ADUN Jalong dan ADUN Tebing Tinggi telah menyerahkan memory card video camera dan camera digital kepada pihak wartawan untuk tujuan hebahan pada pihak yang tidak diketahui.

12. Y.B. Sivakumar telah menafikan serta menggagalkan bentara daripada membawa cokmar masuk ke dalam dewan sebagai simbolik rasmi untuk memulakan persidangan dewan.

13. Lebih 10 orang termasuk Y.B. Ngeh Koo Ham, Y.B. Nga Kor Ming dan Speaker ADUN PAKATAN PEMBANGKANG meluru naik ke tingkat 2 dengan melalui laluan yang tidak dibenarkan untuk mereka tetapi dikhaskan kepada pengawal peribadi Tuanku.

14. Setiausaha Dewan telah menasihati Y.B. Sivakumar agar mengiringi Tuanku Raja Muda ke kamar Di Raja tetapi telah tidak diendahkan oleh Y.B. Sivakumar. Sebaliknya beliau mengatakan beliau ada urusan lain yang perlu diselesaikan dahulu.

15. ADUN PAKATAN PEMBANGKANG telah meluru masuk ke dalam dewan dan mengambil alih tempat duduk yang dikhaskan untuk ADUN KERAJAAN serta telah mengoyak beberapa tanda nama ADUN KERAJAAN.

16. EMPAT ATAU LIMA ADUN PAKATAN PEMBANGKANG mengeluarkan kata-kata kesat kepada Y.B. SUK yang bermaksud menghalang beliau menjalankan tugas.

17. ADUN PAKATAN PEMBANGKANG menghalang Y.A.B. Menteri Besar dari membawa usul yang ditetapkan dalam aturan sidang DUN.

18. ADUN PAKATAN PEMBANGKANG menghalang Timbalan Speaker dan Speaker Y.B. Dato' R. Ganesan dari menjalankan tugas.

19. Speaker Sivakumar telah menyalahgunakan kuasa dengan meminta Y.A.B. Menteri Besar dan 6 Exco serta 3 ADUN Bebas keluar dewan dan ianya melanggari aturan dewan yang ditetapkan dan menghina keputusan Mahkamah Persekutuan.

20. ADUN PAKATAN REMBANGKANG telah melemparkan Buku Perintah Tetap DUN ke arah Y.B. Timbalan Speaker.

21. Tindakan sebahagian besar ADUN PAKATAN PEMBANGKANG tidak menghadiri sesi perbarisan tetapi memasuki DUN lebih awal dan tindakan sebahagian lagi yang tergesa-gesa memasuki DUN selepas tamat perbarisan melalui laluan yang tak dibenarkan dan seterusnya mengambil tempat duduk yang dikhaskan kepada Exco dan ADUN Barisan Nasional menunjukkan ADUN PAKATAN PEMBANGKANG mempunyai niat membuat haru-biru dan kekacauan bagi menggagalkan sidang DUN.

22. 5 - 6 mikrofon telah dirosakkan oleh beberapa ADUN PAKATAN PEMBANGKANG.

23. Pejabat Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat telah menerima dua panggilan ugutan dari pihak tidak bertanggungjawab mengatakan bahawa terdapat bom di bangunan SUK Perak. Ianya bertujuan bagi mengelakkan DUN dari bersidang.

24. Bentara Dewan juga turut ditolak sehingga mengalami kecederaan di kaki semasa menjalankan tugas mengikut peraturan dewan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Rakyat mengesa Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan wajar bermesyuarat segera untuk mengantung mereka yang melakukan perbuatan yang terlampau ini.

Wednesday, May 13, 2009

Ketua Puteri Kedah : Norashimah Md. Nowar?

Tahniah kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah yang baru! Shima, Ketua Puteri Sik. Dengan perlantikan ini, maka tamatlah spekulasi tentang pemilihan Ketua Puteri Kedah yang baru selepas Pn. Shahanim. Pn. Shahanim boleh menumpukan perhatian yang lebih setelah berjaya memenangi kerusi Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Tahniah juga kepadanya. YB Suraya yang juga bekas Ketua Puteri UMNO Kedah telah terpilih menjadi salah satu Exco Wanita UMNO Malaysia. Hebat-hebat belaka puteri-puteri UMNO Kedah ni...

Norashimah binti Md. Nowar. Isteri ADUN Belantik. Hanyalah seorang kerani sekolah. Seorang indivividu "marhein" yang pastinya sering berurusan dengan hal-hal kerenah pengurusan sekolah, guru-guru dan pelajar. Seorang isteri yang "low profile" walaupun suaminya seorang ADUN. Shima banyak aktif diluar waktu bekerja. Dia hanya insan "biasa" bagi kaca mata orang-orang tidak mengenali beliau. Dia bukan VIP yang berpublisiti!

Namun, sedarkah kita semua bahawa itu juga merupakan "kelebihan" kepada Shima? Dia "fresh"! Dia tahu dan mengalami banyak pengalaman sebagai rakyat "marhein", maknanya dia tahu "realiti" kehidupan golongan akar umbi. Dia sering berada di"bawah" untuk membantu masyarakat walaupun hakikatnya tempatnya sememangnya di"atas". Dan kini, bila dia diangkat dan diiktiraf oleh pihak Puteri UMNO Malaysia sebagai Ketua Puteri UMNO Kedah. Diangkat menjadi Ketua, atas kreadibiliti sebagai seorang pemimpin Puteri Kedah, bukan sebagai kerani...

Kerani bukanlah satu kelemahan. Adakah kerana dia kerani sekolah yang "tidak berduit" untuk dihulurkan, maka tidak layak untuk mengetuai Puteri UMNO Kedah? Adakah "duit" yang diharapkan darinya? Buanglah tabiat "cari duit politik" tu...budaya tak sihat tu berasal dari Anwar Ibrahim De Facto Pakatan Rakyat sekarang ni. Shima tidak menjanjikan duit, dia menjanjikan khidmatnya dan pengorbanannya untuk rakyat. Bukan hanya puteri-puteri Kedah sahaja yanga akan menerima jasa dan sumbangannya, malah seluruh rakyat Kedah termasuklah mak long, pak lang, cik ngah mahupun adik-adik yang masih di bangku sekolah. Pasal duit untuk program tu nanti pandai-pandai la di "generate", Pn. Shahanim dan Pn. Rosnah pasti tak lokek membantu seorang yang ikhlas seperti Shima!

Jika anda semua mempertikaikan "ikhlas"nya Shima, maka anda mungkin prejudis dan bersikap syak wasangka buruk (suu' u zhon). Shima sebenarnya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang Ketua Puteri, apatah lagi seorang Ketua Puteri UMNO Negeri. Dia sedar, takkanlah dirinya yang hanya seorang "kerani" maka dia mahu menggapai jawatan yang "panas" dan kononnya memerlukan "wang". Jadi dia ikhlas membantu Puteri UMNO Kedah dibawah kepimpinan Pn. Shahanim dulu. Dan di atas kreadibiliti, sumbangan, perwatakan, attitude, sifat-sifat dan "performance"nya itu, maka dia dipilih oleh Kepimpinan Puteri UMNO Malaysia yang diketuai oleh YB Rosnah dan Pn. Shahanim. Itulah hakikatnya.

Berilah dia peluang untuk memberi khidmat dan jasa bakti kepada Puteri Kedah dan rakyat. Puteri UMNO Kedah wajar memberikan sokongan dan bantuan kepada Shima untuk menjalankan tugas. She is not even being "tested" yet! So inilah kesempatan yang Shima harus buktikan bahawa dia bukan calang-calang pemimpin. Inilah masanya untuk Shima memberi khidmat yang lebih kepada Puteri Kedah. Tapi ingat, bukan kepada diri sendiri. Jangan lupa daratan anda dan jangan "mabuk" kuasa pula. Kami akan sering memberi bantuan, mahupun teguran yang membina...bukan sekadar kritik, tapi membantu membina kembali keutuhan semangat Puteri UMNO Kedah!

Tahniah sekali lagi!

Monday, May 4, 2009

Kelahiran Puteri Bangsa ku demi Puteri-Puteri di Utara!

Hari ini, pada tarikh 4hb. April 2009, bersamaan dengan 9 Jamadilawal 1430 tahun hijrah, maka lahirlah blog perjuangan Islam, bangsa Melayu dan Tanahair ku ini. Ketika UMNO sedang berada di pasca peralihan kuasa, di saat UMNO dilanda satu demi satu perubahan revolusi politik, blog ini lahir untuk memberikan sumbangan kepada perjuangan UMNO.

Sebagai salah satu sayap UMNO yang terpenting, blog Puteri Bangsaku ini memberikan satu nafas baru bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, khususnya di "wilayah utara" semenanjung tanahair di dalam perjuangan mendaulatkan Islam, Melayu dan Malaysia di dalam konteks kaca pemikiran Puteri-Puteri UMNO Malaysia.

Di fikirkan blog ini akan memberikan informasi terkini tentang Puteri di wilayah utara seperti :
  • Aktiviti-aktiviti terkini.
  • Laporan-laporan tentang program-program Puteri Utara.
  • Informasi tentang dakyah-dakyah batil pihak pembangkang.
  • Mengeratkan perpaduan dikalangan Puteri-Puteri Wilayah Utara.
  • Menyampaikan berita-berita dan hal ehwal isu semasa.
  • Menjalin silaturrahim sesama Puteri di utara dan masyarakat.
  • Menyediakan kepelbagaian informasi seperti teknologi, pertanian, perniagaan, ICT, peluang pekerjaan, latihan-latihan kemahiran dan sebagainya.
  • Memberikan pengisian kepada Puteri tentang Islam secara fundemantel, kerohanian, spiritual bersesuaian dengan peredaran zaman secara praktikal dan wasatiah.
  • Dan lain-lain lagi...

Semoga dengan kelahiran blog ini, kita semua boleh memperbaiki diri kita sesama puteri, bermuhasabah diri, mempertahankan kehormatan diri sebagai pejuang UMNO dan dasar tulennya, menafikan dakyah dan fitnah pembangkang yang merosakkan, menyerang musuh-musuh Islam, Bangsa dan Tanahair sama ada yang zahir ataupun "yang tersembunyi didalam selimut", dan yang paling penting...memartabatkan pengisian jiwa rohani dan jasmani didalam perjuangan yang tidak akan selesai selagi nyawa di kandung badan...

Marilah puteri-puteri bangsaku...kita bersatu hati disaat kita baru sahaja pulih dari Tsunami politik tanahair. Kita bangun berpadu tenaga, keringat dan pengorbanan uttuk melahirkan generasi "Islam UMNO madani" yang seiring dengan zaman. Kita buangkan yang keruh yang telah terjadi diantara kita...dan kita ambil yang jernih yang melambangkan keikhlasan sesama kita demi perjuangan! Kita harungi bersama kepayahan dan kegembiraan, airmata dan senda tawa...kita atur kembali barisan serikandi utara agar disegani kawan dan lawan...kita maafkanlah segala kekhilafan yang melanda sesama kita...kita hanya manusia biasa yang tidak dapat lari dari segalanya.

Jujurlah kita pada perjuangan! Ikhlaslah kita pada kesepakatan! Kukuhlah kita didalam mengejar matlamat Puteri UMNO zaman berzaman! Jitulah kita mempertahankan Islam menangkis cabaran! Peliharalah martabat kehormatan bila Puteri UMNO di mata rakyat yang dahaga perubahan!

Allahuakbar! Allah itu sememangnya Maha Besar, Maha A'zim dan Maha Agung! Bangunlah semua Puteri Bangsa ku di utara! Kita bersatu demi "Alif, Ba dan Ta"!

Wallahua'lam bis sawaab...